Skip to content

‘SIRIH PULANG KE GAGANG’: KEUNIKAN ORANG MELAYU LAMA MEMBENTUK PERIBAHASA

May 25, 2015
sumber: google

Sirih atau nama saintifiknya Piper betle merujuk kepada dauh sirih yang diambil dari pokok Sirih, sejenis pokok menjalar, yang merupakan satu bahan penting dalam kebudayaan Melayu. Pokok ini berasal dari Malaysia dan kini boleh turut dijumpai di India, Indonesia dan Sri Lanka (Wikipedia).

Sirih dari Aspek Metafizik, Epistimologi, Etika, Logik, dan Estetika.

Menurut sejarah, masyarakat dulu-dulu sering menanam sirih di rumah mereka kerana khasiat yang dimiliki oleh sirih. Khasiatnya yang banyak itu menjadikan sirih sebagai satu elemen penting dalam perubatan tradisional. Sirih juga memainkan peranan dalam dunia perbomohan selain dipercayai dapat menambahkan nafsu seks. Tetapi ini bukanlah sebab utama signifikannya daun sirih dalam adat perkahwinan Melayu. Tumbuhan yang memiliki 1001 keunikan ini berkait dengan sejarah dan cara hidup masyarakat Melayu dahulu kala.

Sirih merupakan bahan penting dalam adat bertandang dan ziarah dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala. Apabila ada orang datang kerumah maka biasanya tuan rumah akan menjemput mereka naik ke rumah menjamah sirih dan pinang. Amalan ini menjadi salah satu adat pembuka bicara. Tetamu yang datang juga turut mengamalkan membawa daun sirih sebagai buah tangan kepada tuan rumah. Maka itulah apabila rombongan merisik atau meminang datang mereka akan membawa bersama daun sirih sebagai buah tangan kepada tuan rumah. Bagi tuan rumah pula mereka akan membalasnya dengan menyuakan pula sirih mereka. Seterusnya mereka akan sama-sama menjamah dulu sirih ini dengan campuran pinang dan kapur sebelum memulakan bicara dan rundingan.

Sirih juga dikaitkan dengan sifat kesopanan dan kelembutan hinggakan cara pemakanan sirih itu sendiri ada caranya yang mencerminkan maksud tersirat. Jari manis melambangkan sesuatu yang indah dan sopan, maka itu jari manis hendaklah digunakan dalam menjalinkan campuran antara kapur dan sirih.

Selain itu, terdapat juga penggunaan sirih perubatan Melayu kerana elemen semula jadi ini amat penting dan dekat dengan alam dan budaya Melayu. Kepentingan ini juga diperjelas melalui kenyataan Jeniri Amir (2005 dalam Hamidah Abdul Wahab, 2013: 92), iaitu sirih amat sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala. Sirih banyak digunakan dalam bidang perubatan dan adat resam masyarakat Melayu sehingga dikenali sebagai daun budi dan daun diplomasi. Bagi masyarakat Melayu, daun sirih biasanya akan dipanaskan pada api, lalu diletakkan di perut bayi dengan tujuan membuang angin atau menyembuhkan kembung perut. Contoh ini secara jelas menampakkan bahawa kaum ini memanfaatkan sirih dalam bidang pengubatan tradisional. Sungguhpun bersifat tradisional, penggunaan sirih dalam perubatan dinyatakan sangat relevan hingga kini kerana kemujarabannya. Hal ini demikian kerana sirih mempunyai hubungan yang dekat dengan alam Nusantara dan kemujarabannya dalam penyembuhan penyakit sangat dipercayai oleh masyarakat setempat[i].

[i]  Teks asal untuk parafrasa ini ialah:

Selain itu, terdapat juga penggunaan sirih dan pinang dalam perubatan Melayu kerana kedua-dua elemen semula jadi ini amat penting dan dekat dengan alam dan budaya Melayu. Kepentingan ini juga diperjelas melalui kenyataan Jeniri Amir (2005), iaitu sirih amat sebati dalam kehidupan, banyak digunakan dalam bidang pengubatan dan adat resam Melayu sehingga dikenali sebagai daun budi dan daun diplomasi, sementara pinang turut mempunyai maksud yang tersendiri. Bagi masyarakat Melayu, daun sirih biasanya akan dipanaskan pada api, lalu diletakkan di perut bayi dengan tujuan membuang angin atau menyembuhkan kembung perut. Contoh ini secara jelas menampakkan bahawa kaum ini memanfaatkan sirih dalam bidang pengubatan tradisional. Sungguhpun bersifat tradisional, penggunaan sirih dalam perubatan dinyatakan sangat relevan hingga kini kerana kemujarabannya. Hal ini demikian kerana sirih mempunyai hubungan yang dekat dengan alam Nusantara dan kemujarabannya dalam penyembuhan penyakit sangat dipercayai oleh masyarakat setempat (Hamidah Abdul Wahab, 2013: 92).

Keunikan Tersembunyi ‘Bagai Sirih Pulang ke Gagang’

Bagai sirih pulang ke gagang membawa maksud kembali ke tempat asal (Sapinah Said, 2004: 1142). Gagang ialah tangkai daun. Apabila daun sirih tanggal daripada gagang tentulah daun dan gagang akan berpisah. Namun, jika sirih itu dicantumkan semula ke gagang tempat asalnya, tentulah keadaan itu nampak sesuai dan elok dipandang seperti sedia kala [ii]. Tangkai daun sirih yang diputuskan daripada pokoknya jika diletakkan semula pada bahagian asal, tidak akan nampak cacat celanya.

[ii]  Teks asal untuk parafrasa ini ialah:

Gagang ialah tangkai daun. Apabila daun sirih tanggal daripada gagang tentulah daun dan gagang akan berpisah. Kemudian sirih itu pulang semula ke gagang tempat asalnya. Tentulah keadaan itu nampak sesuai dan elok dipandang seperti sedia kala (Sapinah Said, 2004: 1142).

Benarlah seperti kata Ustaz Hasrizal Abd Jamil yang dipetik dari blog Imtiazfisabilillah iaitu:

Kita tidak boleh memahami bahasa dahulu dengan pemikiran hari ini. Bahasa lama perlu berfikir cara lama. Orang Melayu membungkus agama dan adat, di dalam satu peti emas yang dianggap sebagai JATI dan HARGA DIRI. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar dan manis dirasai.”

Persoalannya, sejauh mana kita benar-benar memahami makna dan cara fikir masyarakat Melayu lama melalui peribahasa-peribahasa yang diwariskan zaman berzaman?

RUJUKAN

Ahmad Fuad b. Mat Hassan. 2010. Bahasa dan pemikiran dalam peribahasa Melayu dari sudut pragmatik (Tesis Sarjana). Serdang: Universiti Putra Malaysia. Diakses dari http://psasir.upm.edu.my/22140/ pada 17 April 2015, 2.10 petang.

Hamidah Abdul Wahab. 2013. Petua dan Pantang Larang Tradisional dalam Alam Melayu Sarawak. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 1(1), 2013: 89 – 97. Diakses dari  http://journalarticle.ukm.my/6397/1/IMAN1_8.pdf pada 17 April 2015, 4.15 petang.

Imran Ho-Abdullah. 2011. Analisis Kognitif Semantik Peribahasa Melayu Bersumberkan Anjing (Canis Familiaris). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Diakses dari http://www.academicpublishingplatforms.com/downloads/pdfs/gema/volume1/201201031315_GEMA_Vol11_1_2011_8.pdf pada 17 April 2015, 3.09 petang.

Murshid Eunos. 18 Disember 2013. Bagai Sirih Pulang ke Gagang. Diakses dari http://www2.hmetro.com.my/articles/2013121720475920131217204759/2013/Article pada 17 April 2015, 4.35 petang.

Noraini Shahida Ishak & M Mascitah Mansor. (tiada tahun). Peribahasa: Gambaran Minda Melayu dalam Penciptaan Iklan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Diakses dari http://irep.iium.edu.my/7309/1/Peribahasa_Gambaran_Minda_Melayu_dalam_Penciptaan_Iklan.pdf pada 17 April 2015, 3.21 petang.

Noresah bt. Baharom (Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Sapinah Said. 2004. Kamus Peribahasa Melayu. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Wikipedia. Sirih. Diakses dari https://ms.wikipedia.org/wiki/Sirih pada 17 April 2015, 4.01 petang.

Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. 2011. Bahasa Dan Pemikiran Dalam Peribahasa Melayu. GEMA Online™ Journal of Language Studies Volume 11(3) September 2011. Diakses dari http://core.ac.uk/download/pdf/11491785.pdf pada 17 April 2015, 2.21 petang.

(Blog Tiada Nama Penulis). 21 April 2010. Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat ??(Menjelang Perkahwinan). Diakses dari http://imtiazfisabilillah.blogspot.com/2010/04/biar-mati-anakjangan-mati-adat.html pada 17 April 2015, 3.51 petang.

Peribahasa Melayu: Pemahaman Teks Tanpa Konteks

May 21, 2015

Peribahasa terbit daripada pemerhatian dan pengalaman hidup rakyat jelata dan para cendekiawan. Dalam masyarakat petani lahir peribahasa tiada serik dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua. Di kalangan nelayan pula ada peribahasa lautan mana yang tidak bergelombang; ikan di laut asam di darat; dan kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Cendekiawan yang terlibat dalam menyebarkan ilmu akan sentiasa memberi tunjuk ajar dan kata-katanya menjadi ikutan, umpamanya jangan ditentang matahari; buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali; dan syak fasik yakin salih, batu jadi juadah. Al Quran dan hadis turut memberi sumbangan kepada peribahasa Melayu, contohnya ilmu yang tidak diamal ibarat pokok tidak berbuah dan ilmu tanpa agama, buta. (Sapinah Haji Said, 2004: ii)

Demikian sedikit susur galur peribahasa Melayu yang kita warisi sehingga kini.

Masih jelas dalam ingatan penulis, peribahasa yang dipelajari sejak di bangku sekolah bukanlah peribahasa yang difahami dari aspek konteks. Pemahaman kepada peribahasa hanya kepada maksud yang diajarkan kepada kami pada waktu itu. Kalau ditanya kepada penulis apa yang dimaksudkan dengan ‘kepuk’ dalam peribahasa ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan atau erti ‘aur’ dalam peribahasa bagai aur dengan tebing, penulis pasti menggaru kepala. Dan, tidaklah pula terlintas di benak untuk mencari maksud bagi perkataan-perkataan itu. Ketika bergelar pelajar sekolah, mengorbankan waktu untuk mencari maksud kepada setiap kata dalam peribahasa yang diperkenalkan kepada kami ibarat memikul seguni padi, sesuatu yang amat berat untuk dilakukan. Mana lagi dengan pemerahan otak untuk subjek-subjek lain. Tambahan lagi pada ketika itu akses kepada maklumat bukan seperti sekarang.

Apabila berdiri di tempat guru berdiri dalam kelas, penulis mengulangi apa yang guru penulis lakukan dalam pengajaran peribahasa; mengajar peribahasa hanya kepada pemahaman maksud semata-mata. Maka penulis telah mewariskan kepada anak didik penulis pemahaman teks peribahasa tanpa mengambil tahu signifikan setiap kata dalam rangkai kata yang membentuk peribahasa Melayu. Namun, sejak penulis menjadi pelajar semula kesedaran untuk memahami setiap kata dalam peribahasa menuntut penulis untuk menjadi lebih rajin dari biasa untuk menggali makna. Nikmatnya luar biasa (sebagai seorang guru bahasa) apabila pengajaran disulami dengan penyampaian konteks peribahasa itu sendiri, bukan makna teks semata-mata.

Persoalannya, sejauh mana peribahasa Melayu diajarkan kepada pelajar dalam konteks sebagaimana tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia yang terkandung dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah, bukan dari aspek teks semata-mata?

Rujukan:

Ahmad Fuad b. Mat Hassan. 2010. Bahasa dan pemikiran dalam peribahasa Melayu dari sudut pragmatik (Tesis Sarjana). Serdang: Universiti Putra Malaysia. Diakses dari http://psasir.upm.edu.my/22140/ pada 17 April 2015, 2.10 petang.

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Tiga. Pusat Perkembangan Kurikulum: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Noresah bt. Baharom (Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sapinah Haji Said. 2004. Kamus Peribahasa Melayu. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. 2011. Bahasa Dan Pemikiran Dalam Peribahasa Melayu. GEMA Online™ Journal of Language Studies Volume 11(3) September 2011. Diakses dari http://core.ac.uk/download/pdf/11491785.pdf pada 17 April 2015, 2.21 petang.

Isu Bahasa 2: Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?

April 9, 2015

Isu ini sebenarnya bukanlah isu yang baharu untuk didiskusikan malah telah ramai yang membincangkan isu ini baik secara tertutup melalui perbualan bersifat personal mahu pun secara terbuka melalui pelbagai media sosial seperti blog dan Facebook. Malah terdapat akhbar atas talian yang turut membincangkan isu ini seperti Harakahdaily dan Berita Harian Online. Hal ini menunjukkan isu yang nampak remeh ini sebenarnya bukanlah perkara kecil yang wajar dibiarkan.

Melayu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1014), Melayu bermaksud nama suatu bangsa dan bahasa. Sementara itu, Malaysia pula ditakrifkan sebagai negara yang terletak di Asia Tenggara yang ibu negaranya Kuala Lumpur, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya bahasa Melayu, dan agama rasminya agama Islam (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005: 987).

Bahagian XII: Am dan Pelbagai (Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 152: Bahasa Kebangsaan) juga telah menyatakan dengan amat jelas bahawa:

Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Nah, sudah terang lagi bersuluh istilah bahasa Malaysia bukanlah istilah yang sesuai untuk menggantikan bahasa Melayu. Kalau bangsa lain dalam negara berdaulat ini ada istilah untuk bahasa masing-masing seperti bahasa Tamil, bahasa Cina, bahasa Kadazan dan bahasa Iban, kenapa bahasa Melayu harus diistilahkan sebagai bahasa Malaysia?

20150409_074714Sebagai contoh, buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 2 yang diterbitkan pada 2003 masih menggunakan judul Bahasa Melayu. Tetapi buku teks Tingkatan 3 yang diterbitkan pada tahun 2012 telah bertukar kepada Bahasa Malaysia. Walhal penerbit kedua-dua buku yang menjadi rujukan utama para guru dan pelajar seluruh negara ini adalah sama, Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah Dewan Bahasa dan Pustaka terlepas pandang atau menganggap kedua-dua istilah ini sama?

Profesor Teo Kok Seong, professor Sosiolinguistik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan bahawa penukaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia atas tujuan perpaduan dan integrasi nasional dengan matlamat murni hanya dari segi zahirnya sahaja, tetapi pada hakikatnya boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya orang Melayu yang empunya bahasa terbabit (Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, 2003).

Konklusinya, isu ini tidak wajar dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

RUJUKAN

Amirullah Andi Nur & Amir Mamat. 2014. Kerajaan keluar pekeliling urusan rasmi penjawat awam mesti guna bahasa kebangsaan. http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/WajibbahasaMelayu/Article/index_html diakses pada 9 April 2015, 3.52 petang.

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong. 2013. Kembalikan Istilah ‘Bahasa Melayu’. http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20283-kembalikan-istilah-bahasa-melayu diakses pada 9 April 2015, 3.42 petang.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perlembagaan Persekutuan http://ms.wikipedia.org/wiki/Perkara_152_Perlembagaan_Malaysia diakses pada 9 April 2015, 5.02 petang.

Contoh ayat penggunaan kata nafi ‘bukan’ dalam perbincangan Ayat Tunggal Tatabahasa Dewan kurang sesuai.

April 8, 2015

Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi hanya satu klausa, iaitu satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat (Nik Safiah Karim et al. 2008: 463). Dalam Bab 17: Ayat Tunggal, Nik Safiah et al. (2008: 493) menyatakan bahawa:

Predikat ayat tunggal boleh dibina daripada empat unsur utama, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Selain empat unsur utama tersebut, Nik Safiah et al. (2008: 493) juga berpendapat terdapat dua unsur pilihan dalam pembinaan predikat ayat tunggal iaitu:

(i)            Kata nafi

(ii)           Kata pemeri

Penulis ingin menarik perhatian para pembaca berhubung kenyataan Nik Safiah et al. (2008: 494) iaitu:

Selain untuk menafikan semua frasa nama dan frasa sendi nama, kata nafi bukan boleh juga hadir bagi menafikan maksud frasa kerja dan frasa adjektif, jika kedua-duanya ada mendukung maksud “pertentangan maklumat”.

Dalam mengukuhkan kenyataan ini, Nik Safiah et al. (2008) telah menyenaraikan beberapa contoh ayat tunggal dengan penggunaan kata nafi bukan. Misalnya pada contoh ayat berikut:

  1. Budak-budak itu bukan hendak belajar, tetapi hendak bermain sahaja (Nik Safiah et al., 2008: 494)

345.  Perangainya bukanlah buruk sangat, hanya sekadar tidak manis (Nik Safiah et al., 2008: 494).

Jika diperhatikan dengan teliti, penggunaan kata nafi bukan dalam contoh-contoh yang disenaraikan di atas tidak mengandungi kesalahan. Namun, penulis kurang bersetuju penggunaan contoh-contoh di atas dalam perbincangan mengenai ayat tunggal. Walhal, Nik Safiah et al. (2008: 494) sendiri menyatakan dengan jelas bahawa:

Ayat di atas merupakan ayat majmuk.

Mengukuhkan lagi kenyataan bahawa contoh ayat untuk menunjukkan kata nafi bukan yang disenaraikan oleh Nik Safiah et al. (2008) dalam ayat 341 dan 345 di atas bukan dalam bentuk ayat tunggal, penulis ingin membawa perhatian para pembaca kepada kenyataan Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan (1994: 234) iaitu:

Ayat majmuk (Za’ba: berlapis) ialah ayat yang dibina daripada gabungan dua ayat tunggal menggunakan kata penghubung penambat.

Kata penghubung penambat yang sering digunakan termasuklah dan, lagi, lalu, atau, tetapi, hanya, namun, kecuali, melainkan, sambil dan seraya (Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan, 1994: 234).

Perhatikan semula contoh-contoh berikut:

  1. Budak-budak itu bukan hendak belajar, tetapi hendak bermain sahaja (Nik Safiah et al., 2008: 494).
  2. Perangainya bukanlah buruk sangat, hanya sekadar tidak manis (Nik Safiah et al., 2008: 494).

Perkataan tetapi dalam contoh ayat 341 di atas merupakan kata hubung yang digunakan dalam membina ayat majmuk gabungan yang menggunakan kata hubung dan, atau, tetapi, lalu, lagi dan serta (Md. Sidin Ahmad Ishak & Mohd. Saleeh Rahamad, 1998: 99). Penggunaan kata hubung hanya dalam ayat 345 juga menjadikan contoh ayat tersebut sebagai ayat majmuk.

Kesimpulannya, sebagai salah seorang pendidik Bahasa Melayu yang menjadikan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama, penggunaan contoh dalam bentuk ayat majmuk dalam perbincangan ayat tunggal adalah tidak wajar sama sekali dan boleh mengelirukan pengguna. Contoh ayat yang tidak mengelirukan perlu digunakan untuk menunjukkan penggunaan kata nafi ‘bukan’ dalam bentuk ayat tunggal, sesuai dengan topik perbincangan iaitu Ayat Tunggal.

RUJUKAN:

Asmah Haji Omar. 1993. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darwis Harahap. 1989. Struktur Sintaksis Ayat Selapis dalam Bahasa Malaysia: Satu Analisis Transformasi Generatif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darwis Harahap. 1991. Persoalan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan. 1994. Nahu Melayu Moden. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Md. Sidin Ahmad Ishak & Mohd. Saleeh Rahamad. 1998. Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan.       Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Nik Safiah Karim et. al. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sulaiman Masri. 1997. Tatabahasa Melayu. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Sulaiman Masri & Ahmad Khair Mohd Nor. 2003. Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zainal Abidin Ahmad. 2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

24 Ramadhan dan Status ‘Menunggu Hari’

August 24, 2011

Syukur alhmdulilLah..berjaya juga melewati ramadhan sehingga hari ke 24.pun begitu,hanya 22 hari yg kulalui dengan berpuasa penuh.2 hari tu terpaksa berbuka.uhuk!menjelang hari2 terakhir kandunganku,cabaran semakin memuncak.kalau ikut due bersalin cuma tinggal 10 hari je lagi.dan statusku sekarang, ‘menunggu hari.maksudnya,bila2 masa je bersalin dan semua tu masih menjadi rahsia Ilahi.awalkah, lewatkah atau tepat pada tarikhnya, semua tu diluar pengetahuan.

2 minggu kebelakangan ni,perut dah makin kerap sakit2.bukan setakat perut, tulang pinggang pun sama.kawan2 bagitau semua tu antara tanda2 nak bersalin.tp 3 tanda major tu belum ada lagi la (pecah air ketuban, lendir berdarah atau sakit memulas yang x berhenti).

dan suami yang jauh di seberang laut sana sering risau tiapkali tahu aku selalu sakit2 2 minggu kebelakangan ni.cemasnya mengalahkan aku yg nak bersalin ni.maklumlah,x nampak depan mata.hehheee…tahun ni raya pertama kami sebagai suami isteri tp suasana raya tu cuma dapat dikongsi dari kejauhan.bersabarlah kita wahai suamiku..

Persiapan raya?hehehee…tahun ni memang x beli pun baju raya.persiapan baju raya cuma utk adik2 dan ayah je (mak xnak baju raya taun ni.hheehhe).persiapan lebih kepada nak sambut puteri sulung kami.kalau bersalin sebelum raya, kain batik dan t-shirt je la jadi persalinan raya.kalau bersalin lepas raya,pakai baju mengandung yg selalu pakai p mengajar la jawabnyer.xde la nak bergaya sangat,banyak dduk rumah je pun raya nanti.hihiiii…

Kuih raya?tahun ni banyak buat sendiri insyaalLah tp bukan aku yang buat,adik pmpuan aku yg mmg rajin bab masak memasak dan cuba mencuba tu yg akan sediakan.aku setakat jadi pembantu chef boleh la.hihiii..

sebagai mengakhiri coretan kali ini, dengan penuh rendah hati aku ingin memohon berjuta kemaafan kepada kalian yang pernah mengunjungi ruangan yg serba kekurangan ini andai ada di antara coretan2ku di sini membuat kalian terasa hati.sungguh,tiada walau sebesar zarah niat di hati ini utk membangkitkan kemarahan siapa2 atau menimbulkan ketidaksenangan siapa2.moga hidup kalian dilimpahi keberkatan yang berpanjangan.salam aidilfitri buat semua….

 

Wahai Yang Maha Mendengar..

August 2, 2011

Ya Allah..

Satukanlah hati-hati kami

Satukanlah hatiku dan hati suamiku dalam cahaya kasih sayangMU ya Allah

Tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan keselamatan

Dan selamatkanlah kami dari kegelapan menuju cahaya ya Allah

 

Ya Allah..

Kukuhkanlah rasa cinta di antara kami

Jadikanlah rumahtangga kami

Rumahtangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah

Kuatkanlah kami menghadapi ujian dan cubaan

Baik yang zahir mahupun yang tersembunyi

Jagalah iman, islam dan keikhlasan hati kami dalam beribadah kepadaMU

 

Rabbana atina fid dunya hasanah, wafil akhirati hasanah, waqina ‘azabannar,

Rabbana la tuzigh qulubana ba’da izhadaitana wahab lana minladunka rahmah, innaka antal wahhab..

Satu hari…

July 11, 2011

Sambil memandang ke langit memerhati burung besi (kapal terbang) jauh di dada langit, ayah bersuara

“Satu hari diorang akan merasa juga naik benda tu”, harapan yang juga doa dari ayah.

“Andut nanti jadi cikgu, Ansu….”,

“Ansu nanti jadi polis je la..”, belum sempat ayah menuntaskan ayatnya, mak mencelah. Mak bimbang kalau-kalau ayah akan sebut ‘askar’ untuk anak kedua mereka itu. Mak sebenarnya mahu melihat anak lelakinya itu berkhidmat sebagai anggota polis.

“Iya… Polis pun boleh”, balas ayah.

“Dan Pina nanti jadi nurse pun boleh”, sambung ayah lagi. Demikian ayah menuturkan harapan pada ketiga-tiga anaknya kala mereka melepas lelah setelah penat bekerja memotong kayu dengan gergaji rantainya.

Begitu cerita mak yang mengundang sebak di dadaku. Sebak kerana rupanya ayah telah menyimpan harapan sekian lama untuk anak sulungnya ini menabur bakti dalam dunia pendidikan. Menjadi seorang guru sebenarnya sesuatu yang menjadi kegerunanku suatu ketika dahulu, tidak pernah terlintas menjadi warga pendidik. Namun entah bila hatiku terdorong untuk menyimpan cita dan harap setinggi langit untuk berkhidmat sebagai cikgu. Perjalanan yang kutempuhi untuk mencapai cita dan harap juga impian ayah ini tidaklah sesukar ranjau yang terpaksa adik lelakiku Ansu hadapi. Lebih menjadikan perjalanannya sesuatu yang sering mengundang air mataku adalah bagaimana ayah turut serta berpayah-payah bersama adik.

Tiga kali percubaan adik terpaksa hadapi.

“Kalau saya gagal lagi kali ni mak, saya tak kisah. Tapi saya kesiankan ayah. Tiapkali saya dipanggil untuk temuduga dan menjalani ujian fizikal, ayah selalu temankan”, begitu adik meluahkan perasaannya pada mak setelah menghadapi kegagalan dalam 2 kali percubaannya memohon jawatan konstable dengan berbekal keputusan SPMnya.

Kali ketiga, adik memohon jawatan inspektor berbekalkan keputusan STPMnya. Kali ini, ayah tidak lagi menemani. Bukan kerana hilang asa atau letih menemani namun sering mengalami kegagalan. Tetapi menurut mak, ayah beranggapan kehadirannya tiapkali adik ditemuduga mungkin tak berapa serasi dengan nasib adik. Wallahu’alam.. Sekadar telaan dan naluri seorang ayah. Dan kali ketiga itu adik dibiar pergi seorangan, apalagi dia sudah tahu jalan ke ibu pejabat polis di bandar yang menjadi lokasi temuduga.

Sekian lama menanti jawapan, mak terima panggilan telefon dari adik yang ketika itu bekerja sementara sebagai pengawal keselamatan di bandar sambil-sambil menunggu keputusan mana-mana ruang kerja tetap yang dipohonnya. Menurut adik, dia mendapat penggilan telefon dari ibu pejabat daerah mengatakan dia telah lulus temuduga dan ujian fizikal dan meminta adik datang untuk mendapatkan surat panggilan kursusnya. Petang tu hujan turun agak lebat.

“Ansu dah lulus temuduga. Dia bagitau surat kursus dah boleh amik kat balai polis”, dengan terujanya mak menyambut kepulangan ayah yang baru menginjak anak tangga untuk naik ke rumah sekembalinya dari hutan dengan kabar gembira itu. Waktu tu ayah kebasahan dek hujan.

Sebaik menukar pakaian, tanpa sempat melepas lelah, ayah bergegas ke balai polis. Ayah mengayuh basikal tuanya dalam hujan lebat sejauh 9km untuk ke balai polis mendapatkan surat adik. Surat adik dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum diselit masuk ke dalam baju agar tak renyuk dek hujan.

Demikian sebahagian pengorbanan ayah untuk anak-anaknya. Namun semua itu tak pernah diungkit, tak pernah disuarakan. Ayah lebih memilih untuk membisu.

Dan kini, impian ayah untuk dua orang anaknya tercapai. InsyaalLah 10 November 2011 ini genap 3 tahun aku berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah di daerah kelahiranku. Adik lelakiku pula dah 4 tahun berkhidmat sebagai anggota polis dengan memegang jawatan inspektor di salah sebuah daerah di Sarawak. Hanya saja rezeki adik perempuanku, Pina bukan sebagai nurse seperti impian ayah. Tetapi dalam dunia yang menurutku jauh lebih baik untuknya iaitu guru untuk anak-anak seusia 4 dan 5 tahun.