Skip to content

Satu hari…

July 11, 2011

Sambil memandang ke langit memerhati burung besi (kapal terbang) jauh di dada langit, ayah bersuara

“Satu hari diorang akan merasa juga naik benda tu”, harapan yang juga doa dari ayah.

“Andut nanti jadi cikgu, Ansu….”,

“Ansu nanti jadi polis je la..”, belum sempat ayah menuntaskan ayatnya, mak mencelah. Mak bimbang kalau-kalau ayah akan sebut ‘askar’ untuk anak kedua mereka itu. Mak sebenarnya mahu melihat anak lelakinya itu berkhidmat sebagai anggota polis.

“Iya… Polis pun boleh”, balas ayah.

“Dan Pina nanti jadi nurse pun boleh”, sambung ayah lagi. Demikian ayah menuturkan harapan pada ketiga-tiga anaknya kala mereka melepas lelah setelah penat bekerja memotong kayu dengan gergaji rantainya.

Begitu cerita mak yang mengundang sebak di dadaku. Sebak kerana rupanya ayah telah menyimpan harapan sekian lama untuk anak sulungnya ini menabur bakti dalam dunia pendidikan. Menjadi seorang guru sebenarnya sesuatu yang menjadi kegerunanku suatu ketika dahulu, tidak pernah terlintas menjadi warga pendidik. Namun entah bila hatiku terdorong untuk menyimpan cita dan harap setinggi langit untuk berkhidmat sebagai cikgu. Perjalanan yang kutempuhi untuk mencapai cita dan harap juga impian ayah ini tidaklah sesukar ranjau yang terpaksa adik lelakiku Ansu hadapi. Lebih menjadikan perjalanannya sesuatu yang sering mengundang air mataku adalah bagaimana ayah turut serta berpayah-payah bersama adik.

Tiga kali percubaan adik terpaksa hadapi.

“Kalau saya gagal lagi kali ni mak, saya tak kisah. Tapi saya kesiankan ayah. Tiapkali saya dipanggil untuk temuduga dan menjalani ujian fizikal, ayah selalu temankan”, begitu adik meluahkan perasaannya pada mak setelah menghadapi kegagalan dalam 2 kali percubaannya memohon jawatan konstable dengan berbekal keputusan SPMnya.

Kali ketiga, adik memohon jawatan inspektor berbekalkan keputusan STPMnya. Kali ini, ayah tidak lagi menemani. Bukan kerana hilang asa atau letih menemani namun sering mengalami kegagalan. Tetapi menurut mak, ayah beranggapan kehadirannya tiapkali adik ditemuduga mungkin tak berapa serasi dengan nasib adik. Wallahu’alam.. Sekadar telaan dan naluri seorang ayah. Dan kali ketiga itu adik dibiar pergi seorangan, apalagi dia sudah tahu jalan ke ibu pejabat polis di bandar yang menjadi lokasi temuduga.

Sekian lama menanti jawapan, mak terima panggilan telefon dari adik yang ketika itu bekerja sementara sebagai pengawal keselamatan di bandar sambil-sambil menunggu keputusan mana-mana ruang kerja tetap yang dipohonnya. Menurut adik, dia mendapat penggilan telefon dari ibu pejabat daerah mengatakan dia telah lulus temuduga dan ujian fizikal dan meminta adik datang untuk mendapatkan surat panggilan kursusnya. Petang tu hujan turun agak lebat.

“Ansu dah lulus temuduga. Dia bagitau surat kursus dah boleh amik kat balai polis”, dengan terujanya mak menyambut kepulangan ayah yang baru menginjak anak tangga untuk naik ke rumah sekembalinya dari hutan dengan kabar gembira itu. Waktu tu ayah kebasahan dek hujan.

Sebaik menukar pakaian, tanpa sempat melepas lelah, ayah bergegas ke balai polis. Ayah mengayuh basikal tuanya dalam hujan lebat sejauh 9km untuk ke balai polis mendapatkan surat adik. Surat adik dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum diselit masuk ke dalam baju agar tak renyuk dek hujan.

Demikian sebahagian pengorbanan ayah untuk anak-anaknya. Namun semua itu tak pernah diungkit, tak pernah disuarakan. Ayah lebih memilih untuk membisu.

Dan kini, impian ayah untuk dua orang anaknya tercapai. InsyaalLah 10 November 2011 ini genap 3 tahun aku berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah di daerah kelahiranku. Adik lelakiku pula dah 4 tahun berkhidmat sebagai anggota polis dengan memegang jawatan inspektor di salah sebuah daerah di Sarawak. Hanya saja rezeki adik perempuanku, Pina bukan sebagai nurse seperti impian ayah. Tetapi dalam dunia yang menurutku jauh lebih baik untuknya iaitu guru untuk anak-anak seusia 4 dan 5 tahun.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: