Skip to content

Peribahasa Melayu: Pemahaman Teks Tanpa Konteks

May 21, 2015

Peribahasa terbit daripada pemerhatian dan pengalaman hidup rakyat jelata dan para cendekiawan. Dalam masyarakat petani lahir peribahasa tiada serik dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua. Di kalangan nelayan pula ada peribahasa lautan mana yang tidak bergelombang; ikan di laut asam di darat; dan kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Cendekiawan yang terlibat dalam menyebarkan ilmu akan sentiasa memberi tunjuk ajar dan kata-katanya menjadi ikutan, umpamanya jangan ditentang matahari; buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali; dan syak fasik yakin salih, batu jadi juadah. Al Quran dan hadis turut memberi sumbangan kepada peribahasa Melayu, contohnya ilmu yang tidak diamal ibarat pokok tidak berbuah dan ilmu tanpa agama, buta. (Sapinah Haji Said, 2004: ii)

Demikian sedikit susur galur peribahasa Melayu yang kita warisi sehingga kini.

Masih jelas dalam ingatan penulis, peribahasa yang dipelajari sejak di bangku sekolah bukanlah peribahasa yang difahami dari aspek konteks. Pemahaman kepada peribahasa hanya kepada maksud yang diajarkan kepada kami pada waktu itu. Kalau ditanya kepada penulis apa yang dimaksudkan dengan ‘kepuk’ dalam peribahasa ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan atau erti ‘aur’ dalam peribahasa bagai aur dengan tebing, penulis pasti menggaru kepala. Dan, tidaklah pula terlintas di benak untuk mencari maksud bagi perkataan-perkataan itu. Ketika bergelar pelajar sekolah, mengorbankan waktu untuk mencari maksud kepada setiap kata dalam peribahasa yang diperkenalkan kepada kami ibarat memikul seguni padi, sesuatu yang amat berat untuk dilakukan. Mana lagi dengan pemerahan otak untuk subjek-subjek lain. Tambahan lagi pada ketika itu akses kepada maklumat bukan seperti sekarang.

Apabila berdiri di tempat guru berdiri dalam kelas, penulis mengulangi apa yang guru penulis lakukan dalam pengajaran peribahasa; mengajar peribahasa hanya kepada pemahaman maksud semata-mata. Maka penulis telah mewariskan kepada anak didik penulis pemahaman teks peribahasa tanpa mengambil tahu signifikan setiap kata dalam rangkai kata yang membentuk peribahasa Melayu. Namun, sejak penulis menjadi pelajar semula kesedaran untuk memahami setiap kata dalam peribahasa menuntut penulis untuk menjadi lebih rajin dari biasa untuk menggali makna. Nikmatnya luar biasa (sebagai seorang guru bahasa) apabila pengajaran disulami dengan penyampaian konteks peribahasa itu sendiri, bukan makna teks semata-mata.

Persoalannya, sejauh mana peribahasa Melayu diajarkan kepada pelajar dalam konteks sebagaimana tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia yang terkandung dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah, bukan dari aspek teks semata-mata?

Rujukan:

Ahmad Fuad b. Mat Hassan. 2010. Bahasa dan pemikiran dalam peribahasa Melayu dari sudut pragmatik (Tesis Sarjana). Serdang: Universiti Putra Malaysia. Diakses dari http://psasir.upm.edu.my/22140/ pada 17 April 2015, 2.10 petang.

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Tiga. Pusat Perkembangan Kurikulum: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Noresah bt. Baharom (Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sapinah Haji Said. 2004. Kamus Peribahasa Melayu. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. 2011. Bahasa Dan Pemikiran Dalam Peribahasa Melayu. GEMA Online™ Journal of Language Studies Volume 11(3) September 2011. Diakses dari http://core.ac.uk/download/pdf/11491785.pdf pada 17 April 2015, 2.21 petang.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: