Skip to content

Contoh ayat penggunaan kata nafi ‘bukan’ dalam perbincangan Ayat Tunggal Tatabahasa Dewan kurang sesuai.

April 8, 2015

Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi hanya satu klausa, iaitu satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat (Nik Safiah Karim et al. 2008: 463). Dalam Bab 17: Ayat Tunggal, Nik Safiah et al. (2008: 493) menyatakan bahawa:

Predikat ayat tunggal boleh dibina daripada empat unsur utama, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Selain empat unsur utama tersebut, Nik Safiah et al. (2008: 493) juga berpendapat terdapat dua unsur pilihan dalam pembinaan predikat ayat tunggal iaitu:

(i)            Kata nafi

(ii)           Kata pemeri

Penulis ingin menarik perhatian para pembaca berhubung kenyataan Nik Safiah et al. (2008: 494) iaitu:

Selain untuk menafikan semua frasa nama dan frasa sendi nama, kata nafi bukan boleh juga hadir bagi menafikan maksud frasa kerja dan frasa adjektif, jika kedua-duanya ada mendukung maksud “pertentangan maklumat”.

Dalam mengukuhkan kenyataan ini, Nik Safiah et al. (2008) telah menyenaraikan beberapa contoh ayat tunggal dengan penggunaan kata nafi bukan. Misalnya pada contoh ayat berikut:

  1. Budak-budak itu bukan hendak belajar, tetapi hendak bermain sahaja (Nik Safiah et al., 2008: 494)

345.  Perangainya bukanlah buruk sangat, hanya sekadar tidak manis (Nik Safiah et al., 2008: 494).

Jika diperhatikan dengan teliti, penggunaan kata nafi bukan dalam contoh-contoh yang disenaraikan di atas tidak mengandungi kesalahan. Namun, penulis kurang bersetuju penggunaan contoh-contoh di atas dalam perbincangan mengenai ayat tunggal. Walhal, Nik Safiah et al. (2008: 494) sendiri menyatakan dengan jelas bahawa:

Ayat di atas merupakan ayat majmuk.

Mengukuhkan lagi kenyataan bahawa contoh ayat untuk menunjukkan kata nafi bukan yang disenaraikan oleh Nik Safiah et al. (2008) dalam ayat 341 dan 345 di atas bukan dalam bentuk ayat tunggal, penulis ingin membawa perhatian para pembaca kepada kenyataan Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan (1994: 234) iaitu:

Ayat majmuk (Za’ba: berlapis) ialah ayat yang dibina daripada gabungan dua ayat tunggal menggunakan kata penghubung penambat.

Kata penghubung penambat yang sering digunakan termasuklah dan, lagi, lalu, atau, tetapi, hanya, namun, kecuali, melainkan, sambil dan seraya (Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan, 1994: 234).

Perhatikan semula contoh-contoh berikut:

  1. Budak-budak itu bukan hendak belajar, tetapi hendak bermain sahaja (Nik Safiah et al., 2008: 494).
  2. Perangainya bukanlah buruk sangat, hanya sekadar tidak manis (Nik Safiah et al., 2008: 494).

Perkataan tetapi dalam contoh ayat 341 di atas merupakan kata hubung yang digunakan dalam membina ayat majmuk gabungan yang menggunakan kata hubung dan, atau, tetapi, lalu, lagi dan serta (Md. Sidin Ahmad Ishak & Mohd. Saleeh Rahamad, 1998: 99). Penggunaan kata hubung hanya dalam ayat 345 juga menjadikan contoh ayat tersebut sebagai ayat majmuk.

Kesimpulannya, sebagai salah seorang pendidik Bahasa Melayu yang menjadikan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama, penggunaan contoh dalam bentuk ayat majmuk dalam perbincangan ayat tunggal adalah tidak wajar sama sekali dan boleh mengelirukan pengguna. Contoh ayat yang tidak mengelirukan perlu digunakan untuk menunjukkan penggunaan kata nafi ‘bukan’ dalam bentuk ayat tunggal, sesuai dengan topik perbincangan iaitu Ayat Tunggal.

RUJUKAN:

Asmah Haji Omar. 1993. Nahu Melayu Mutakhir Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darwis Harahap. 1989. Struktur Sintaksis Ayat Selapis dalam Bahasa Malaysia: Satu Analisis Transformasi Generatif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darwis Harahap. 1991. Persoalan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan. 1994. Nahu Melayu Moden. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Md. Sidin Ahmad Ishak & Mohd. Saleeh Rahamad. 1998. Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan.       Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Nik Safiah Karim et. al. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sulaiman Masri. 1997. Tatabahasa Melayu. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Sulaiman Masri & Ahmad Khair Mohd Nor. 2003. Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zainal Abidin Ahmad. 2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: