Skip to content

‘SIRIH PULANG KE GAGANG’: KEUNIKAN ORANG MELAYU LAMA MEMBENTUK PERIBAHASA

May 25, 2015

Sirih atau nama saintifiknya Piper betle merujuk kepada dauh sirih yang diambil dari pokok Sirih, sejenis pokok menjalar, yang merupakan satu bahan penting dalam kebudayaan Melayu. Pokok ini berasal dari Malaysia dan kini boleh turut dijumpai di India, Indonesia dan Sri Lanka (Wikipedia).

Sirih dari Aspek Metafizik, Epistimologi, Etika, Logik, dan Estetika.

Menurut sejarah, masyarakat dulu-dulu sering menanam sirih di rumah mereka kerana khasiat yang dimiliki oleh sirih. Khasiatnya yang banyak itu menjadikan sirih sebagai satu elemen penting dalam perubatan tradisional. Sirih juga memainkan peranan dalam dunia perbomohan selain dipercayai dapat menambahkan nafsu seks. Tetapi ini bukanlah sebab utama signifikannya daun sirih dalam adat perkahwinan Melayu. Tumbuhan yang memiliki 1001 keunikan ini berkait dengan sejarah dan cara hidup masyarakat Melayu dahulu kala.

Sirih merupakan bahan penting dalam adat bertandang dan ziarah dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala. Apabila ada orang datang kerumah maka biasanya tuan rumah akan menjemput mereka naik ke rumah menjamah sirih dan pinang. Amalan ini menjadi salah satu adat pembuka bicara. Tetamu yang datang juga turut mengamalkan membawa daun sirih sebagai buah tangan kepada tuan rumah. Maka itulah apabila rombongan merisik atau meminang datang mereka akan membawa bersama daun sirih sebagai buah tangan kepada tuan rumah. Bagi tuan rumah pula mereka akan membalasnya dengan menyuakan pula sirih mereka. Seterusnya mereka akan sama-sama menjamah dulu sirih ini dengan campuran pinang dan kapur sebelum memulakan bicara dan rundingan.

Sirih juga dikaitkan dengan sifat kesopanan dan kelembutan hinggakan cara pemakanan sirih itu sendiri ada caranya yang mencerminkan maksud tersirat. Jari manis melambangkan sesuatu yang indah dan sopan, maka itu jari manis hendaklah digunakan dalam menjalinkan campuran antara kapur dan sirih.

Selain itu, terdapat juga penggunaan sirih perubatan Melayu kerana elemen semula jadi ini amat penting dan dekat dengan alam dan budaya Melayu. Kepentingan ini juga diperjelas melalui kenyataan Jeniri Amir (2005 dalam Hamidah Abdul Wahab, 2013: 92), iaitu sirih amat sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala. Sirih banyak digunakan dalam bidang perubatan dan adat resam masyarakat Melayu sehingga dikenali sebagai daun budi dan daun diplomasi. Bagi masyarakat Melayu, daun sirih biasanya akan dipanaskan pada api, lalu diletakkan di perut bayi dengan tujuan membuang angin atau menyembuhkan kembung perut. Contoh ini secara jelas menampakkan bahawa kaum ini memanfaatkan sirih dalam bidang pengubatan tradisional. Sungguhpun bersifat tradisional, penggunaan sirih dalam perubatan dinyatakan sangat relevan hingga kini kerana kemujarabannya. Hal ini demikian kerana sirih mempunyai hubungan yang dekat dengan alam Nusantara dan kemujarabannya dalam penyembuhan penyakit sangat dipercayai oleh masyarakat setempat[i].

[i]  Teks asal untuk parafrasa ini ialah:

Selain itu, terdapat juga penggunaan sirih dan pinang dalam perubatan Melayu kerana kedua-dua elemen semula jadi ini amat penting dan dekat dengan alam dan budaya Melayu. Kepentingan ini juga diperjelas melalui kenyataan Jeniri Amir (2005), iaitu sirih amat sebati dalam kehidupan, banyak digunakan dalam bidang pengubatan dan adat resam Melayu sehingga dikenali sebagai daun budi dan daun diplomasi, sementara pinang turut mempunyai maksud yang tersendiri. Bagi masyarakat Melayu, daun sirih biasanya akan dipanaskan pada api, lalu diletakkan di perut bayi dengan tujuan membuang angin atau menyembuhkan kembung perut. Contoh ini secara jelas menampakkan bahawa kaum ini memanfaatkan sirih dalam bidang pengubatan tradisional. Sungguhpun bersifat tradisional, penggunaan sirih dalam perubatan dinyatakan sangat relevan hingga kini kerana kemujarabannya. Hal ini demikian kerana sirih mempunyai hubungan yang dekat dengan alam Nusantara dan kemujarabannya dalam penyembuhan penyakit sangat dipercayai oleh masyarakat setempat (Hamidah Abdul Wahab, 2013: 92).

Keunikan Tersembunyi ‘Bagai Sirih Pulang ke Gagang’

Bagai sirih pulang ke gagang membawa maksud kembali ke tempat asal (Sapinah Said, 2004: 1142). Gagang ialah tangkai daun. Apabila daun sirih tanggal daripada gagang tentulah daun dan gagang akan berpisah. Namun, jika sirih itu dicantumkan semula ke gagang tempat asalnya, tentulah keadaan itu nampak sesuai dan elok dipandang seperti sedia kala [ii]. Tangkai daun sirih yang diputuskan daripada pokoknya jika diletakkan semula pada bahagian asal, tidak akan nampak cacat celanya.

[ii]  Teks asal untuk parafrasa ini ialah:

Gagang ialah tangkai daun. Apabila daun sirih tanggal daripada gagang tentulah daun dan gagang akan berpisah. Kemudian sirih itu pulang semula ke gagang tempat asalnya. Tentulah keadaan itu nampak sesuai dan elok dipandang seperti sedia kala (Sapinah Said, 2004: 1142).

Benarlah seperti kata Ustaz Hasrizal Abd Jamil yang dipetik dari blog Imtiazfisabilillah iaitu:

Kita tidak boleh memahami bahasa dahulu dengan pemikiran hari ini. Bahasa lama perlu berfikir cara lama. Orang Melayu membungkus agama dan adat, di dalam satu peti emas yang dianggap sebagai JATI dan HARGA DIRI. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar dan manis dirasai.”

Persoalannya, sejauh mana kita benar-benar memahami makna dan cara fikir masyarakat Melayu lama melalui peribahasa-peribahasa yang diwariskan zaman berzaman?

RUJUKAN

Ahmad Fuad b. Mat Hassan. 2010. Bahasa dan pemikiran dalam peribahasa Melayu dari sudut pragmatik (Tesis Sarjana). Serdang: Universiti Putra Malaysia. Diakses dari http://psasir.upm.edu.my/22140/ pada 17 April 2015, 2.10 petang.

Hamidah Abdul Wahab. 2013. Petua dan Pantang Larang Tradisional dalam Alam Melayu Sarawak. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 1(1), 2013: 89 – 97. Diakses dari  http://journalarticle.ukm.my/6397/1/IMAN1_8.pdf pada 17 April 2015, 4.15 petang.

Imran Ho-Abdullah. 2011. Analisis Kognitif Semantik Peribahasa Melayu Bersumberkan Anjing (Canis Familiaris). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Diakses dari http://www.academicpublishingplatforms.com/downloads/pdfs/gema/volume1/201201031315_GEMA_Vol11_1_2011_8.pdf pada 17 April 2015, 3.09 petang.

Murshid Eunos. 18 Disember 2013. Bagai Sirih Pulang ke Gagang. Diakses dari http://www2.hmetro.com.my/articles/2013121720475920131217204759/2013/Article pada 17 April 2015, 4.35 petang.

Noraini Shahida Ishak & M Mascitah Mansor. (tiada tahun). Peribahasa: Gambaran Minda Melayu dalam Penciptaan Iklan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Diakses dari http://irep.iium.edu.my/7309/1/Peribahasa_Gambaran_Minda_Melayu_dalam_Penciptaan_Iklan.pdf pada 17 April 2015, 3.21 petang.

Noresah bt. Baharom (Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Sapinah Said. 2004. Kamus Peribahasa Melayu. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Wikipedia. Sirih. Diakses dari https://ms.wikipedia.org/wiki/Sirih pada 17 April 2015, 4.01 petang.

Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. 2011. Bahasa Dan Pemikiran Dalam Peribahasa Melayu. GEMA Online™ Journal of Language Studies Volume 11(3) September 2011. Diakses dari http://core.ac.uk/download/pdf/11491785.pdf pada 17 April 2015, 2.21 petang.

(Blog Tiada Nama Penulis). 21 April 2010. Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat ??(Menjelang Perkahwinan). Diakses dari http://imtiazfisabilillah.blogspot.com/2010/04/biar-mati-anakjangan-mati-adat.html pada 17 April 2015, 3.51 petang.

One Comment leave one →
  1. November 3, 2015 12:25 am

    Orang melayu memang pandai merangkai kata-kata, didalam yang tersurat, ada sesuatu yang tersirat

Leave a comment